Selesai Vaksin Sinovac Dos Pertama | Side Effect Sinovac

 

 
Alhamdulillah, syukur selesai vaksin dos pertama. Saya dapat vaksin sinovac. Nervous juga sebenarnya bila dapat notifikasi daripada mysejantera untuk temu janji vaksin.

Saya dapat agak yang saya pasti akan menangis untuk sesi cucuk vaksin ini. Sebagai pengetahuan anda semua, ketika kementerian kesihatan menyuruh rakyat Malaysia mendaftarkan vaksin di mysejahtera, saya sendiri mengambil masa dua minggu untuk membuat keputusan untuk mendaftar. Bukan kerana saya antivaksin, akan tetapi disebabkan saya nak double confirm bahawa kaedah untuk saya ambil vaksin hanyalah dengan suntikan. Tiada alternatif lain seperti, ubat telan dan sebagainya. Saya siap tanya rakan-rakan saya yang mengambil jurusan bidang perubatan untuk memastikan hanya suntikan sahaja kaedah untuk ambil vaksin (punyalah nak mengelak sebab takut jarum).
 
Jadi, ada beberapa perkara yang saya sediakan untuk sorokkan tangisan saya ketika hari kejadian.


Kebetulan ada beli contact lense untuk digunakan buat sesi workout, Jadi outfit saya ketika hari kejadian adalah knitwear + inner yang dipontong lengannya + kacamata hitam. Hero saya pada hari kejadian ini ialah kacamata hitam.

Sejujurnya, saya memang takutkan jarum. Lagi-lagi setelah sekian lama saya tidak pernah kena suntikan. Kali terakhir saya kena suntikan adalah waktu demam denggi. Kemudian, ini adalah kali pertama saya berurusan untuk mendapatkan suntikan tanpa ibu bapa. Yang teman saya ketika itu adalah beg saya sahaja.

Terima kasih juga kepada Doktor tukang cucuk dan juga para sukarelawan yang tolong tenangkan saya. Jutaan terima kasih juga buat kacamata hitam saya yang tolong semburyikan airmata saya. Kalau tidak, memang malulah saya. 
 
Pakai jacket adalah pilihan paling tepat, kerana ketikan sesi suntikan itu, saya hanya mampu menangis dan memeluk beg saya sehingga selesai. Jadi, doktor tersebutlah yang selak jacket saya dan betulkan kembali jacket saya. HAHA.

Buat mereka yang takut boleh pakai macam saya. Outfit acah-acah cool, tetapi sebenanya menangis teresak-esak.


Lokasi PPV saya adalah Mahsa Universiti, Bandar Saujana Putra. Saya sangat sukakan prosedur mereka. Proses dimulakan dengan mengisi borang terlebih dahulu, kemudian ke bahagian semak kad pengenalan, kemudian sesi consultant  bersama Doktor dan tempat menunggu untuk ke kawasan suntikan. Proses vaksin saya daripada awal hingga lah selesai adalah selama 30 minit. Saya rasa lama tu sebab saya menangis hehehehe.
 
Kesan Sampingan
Alhamdulillah, saya hanya lenguh tangan yang kena suntikan. Demam ke, pening kepala ke dan sebagainya saya tak kena.

Saya doakan semoga segala urusan anda semua untuk vaksin dipermudankan. Semoga Malaysia sembuh daripada Covid.


Review: Drama Jodoh-Jodoh Annisa

Review: Drama Jodoh-Jodoh Annisa

Tajuk: Jodoh-Jodoh Annisa.

Jumlah Episod: 100.

Pengarah: Mohamad Riza Baharuddin.

Pelakon: Izara Aishah, Dato'Aaron Aziz, Dato' Fizz Fairuz, Amar Bahrin dan lain-lain.

Tahun Terbitan: 2019

Sinopsis:

Mengisahkan tentang Annisa yang mencari jodohnya yang terdiri daripada lima lelaki di dalam poster tersebut. Namun dalam Annisa mencari jodohnya, banyak liku-liku yang Annisa tempuhi sehingga dia menemui jodohnya.

Drama yang berjumlah 100 episod ini sangat menarik untuk ditonton. Walaupun secara jujur, pendapat peribadi saya menyatakan tajuk drama ini agak tidak sesuai dengan jalan cerita drama ini. Tapi saya faham takkan lah kita nak letak tajuk "Kisah Kehidupan Annisa yang Berliku", dah tak "catchy" dan terlalu panjang.

Fokus post kali ini saya mahu memberitahu kepada para pembaca sebab-sebab anda perlu menonton drama Jodoh-Jodoh Annisa ini.

Banyak faktor yang menarik dalam drama ini yang membuatkan saya sendiri tidak boleh move on sehingga sekarang. Malah, selepas tamat 100 episod, saya sendiri asyik terkenang drama ini sebelum tidur. Hebatkan drama ini ?

1. Jalan Cerita

Drama ini jalan ceritanya penuh dengan plot twist. Dah nama pun 100 episod, jadi elemen plot twist amat penting untuk memastikan cerita ini sesuai untuk dilaksanakan sebanyak 100 episod. Plot twist  dalam cerita ini adalah pelbagai, ia merangkumi hal-hal kekeluargaan, hal percintaan dan juga hal-hal pekerjaan terutama dalam bisnes. Selain itu, jalan cerita dalam drama ini sedikit banyak dia tidak terlalu mengarut atau sesuatu yang terlalu mustahil untuk berlaku.

Perkara yang menarik dalam drama ini adalah mereka mengetengahkan konsep pekerjaan haram ataupun dalam cerita ini lebih dikenalkan sebagai "underbelly", mafia, gengster, penjualan organ, penyeludupan dadah dan seangkatan dengannya.

2. Perwatakan

Perwatakan yang paling berkesan dalam cerita ini adalah "penyayang". Kasih sayang atara sahabat, kasih sayang antara keluarga dan juga kasih sayang percintaan dalam drama ini sangat power

Sehinggakan saya sendiri dapat rasa perasaan sayang yang dilakonkan oleh setiap pelakon dalam drama ini. Gembiranya mereka apabila keluarga itu bahagia dan sedihnya apabila berlaku kehilangan semuanya dapat dirasa dalam drama ini. Bila masuk sahaja bahagian sedih, memang saya turut menangis sekali :(.

Perwatakan kedua ialah sifat keperempuanan dalam drama ini. Bagi pendapat saya, hebatnya penulis skrip ini memastikan setiap wanita yang ada dalam drama ni ada sifat natural yang setiap wanita miliki. Sebagai contoh, hebat mana pun seseorang perempuan itu, kalau ada sesuatu perkara yang menyentuh emosi mereka, terus boleh jadi singa, atau membuat keputusan melulu tanpa berfikir terlebih dahulu. Apabila wujundnya perwatakan begini, ia membuatkan para penonton ini rasa bersama. Makna kata lain, kita akan lebih mendalami drama ini. Selain itu, yang menariknya adalah perwatakan ini ada pada setiap pelakon perempuan, tidak kira umur berapa pun, dan walaupun hanyalah pelakon tambahan masih juga ada sifat ini.

3. Pengajaran

Banyak pengajaran yang kita boleh dapat melalui drama ini. Salah satunya, perasaan tamak sebenarnya boleh membunuh segala perkara, Boleh menghancurkan hubungan yang harmoni. Boleh menyebabkan kehilangan banyak perkara. Dalam drama ini, kita boleh lihat bagaimana sifat tamak itu sebenarnya boleh meragut segalanya yang lebih bermakna dalam hidup kata. Kita mungkin dapat wang dan harta, tetapi kita mungkin akan kehilangan keluarga yang lebih berharga.

Selain itu, orang-orang yang terlibat dengan underbelly ini sebenarnya berani. Tetapi keberanian mereka ini disalurkan kepada perkara yang salah. Mereka ini berani kerana penglibatan dalam underbelly sebenarnya mempunyai risiko yang tinggi dengan pulangan yang tinggi. Konsep dia macam investment. "High risk, high return. Low risk, low return". Orang yang libatkan diri dalam agenda ini berani mahu menanggung banyak risiko. Kata orang apabila kita masuk dalam dunia gelap, mungkin sukar untuk kita keluar dari dunia tersebut. Apa-apa pun kita minta dijauhkan diri daripada dunia-dunia seperti ini.

4. Para Pelakon

Para pelakon dalam cerita ini kesemuanya adalah hebat-hebat dan bukan calang-calang. Kita ada Izara Aishah, Aaron Aziz, Amar Baharin, Shah Iskandar, Fizz Fairuz, Rosnah Johari, Adam Corrie dan sebagainya. Boleh rujuk : Jodoh-Jodoh Annisa - Wikipedia.

5. Muzik Latar Belakang

Pemilihan muzik latar belakang dalam cerita ini sangat  memberi sentuhan dan kesan buat para penonton. Terutama sekali, apabila berlakunya bahagian sedih dalam cerita ini. Jadi apabila lagu untuk babak sedih ini dipasang, secara tidak langsung mengalir air mata saya. 

Oleh itu,  "Adi Priyo - Aku Cinta Mati" telah menjadi lagu kegemaran saya selepas menonton 100 episod drama. Malah saya menulis post ini sambil mendengar lagu AKU CINTA MATI. 

6. Pergerakkan Kamera

Ini pun menyebabkan emosi yang dibawa oleh setiap pelakon sampai ke jiwa para penonton. Lagi-lagi apabila ada beberapa pergerakkan kamera yang menunjukkan point of view seseorang terhadap seseoarang. Ketika ini kita boleh lihat perasaan seseorang itu terhadap orang yang dia sedang lihat. Kita boleh rasa betapa besarnya cinta dia terhadap orang yang di sedang lihat.

 

Pendapat Peribadi (Sesuai untuk mereka yang telah menonton) [Spoil Alert]

Pendapat peribadi yang ingin saya kongsikan adalah wira sebenar dalam drama ini. Wira sebenar dalam drama ini adalah Puan Khatijah yang dilakonkan oleh Norliza Abdullah. Mengapa saya katakan bahawa Puan Khatijah adalah wira sebenar?

Pertama, tiada siapa pun tahu gerak geri Puan Khatijah menyimpan rahsia Tuan Azhar yang dilakokan oleh Hilal Azman. Malah, orang ramai (orang yang mencari rahsia Tuan Azhar) ini tahu bahawa Puan Khatijah tahu banyak perkara di saat-saat Puan Khatijah menghembus nafas terakhir. 

Kedua, Puan Khatijah sendiri yang menyelamatkan Rykarl yang dilakonkan oleh Dato' Fizz Fairuz. Selain itu, Puan Khatijah ini sendiri juga yang tahu banyak maklumat mana Rita (Isteri Rykarl) yang dilakokan oleh Shiqin Kamal. 

Ketiga, Puan Khatijah mempunyai banyak-banyak mata yang sangat hebat. Malah, sekelip mata sahaja Puan Khatijah boleh menyuruh orang-orang beliau untuk menyembunyikan peti yang penuh rahsia yang disorok oleh Tuan Azhar ketika Tuan Azhar masih lagi hidup.

Pendapat kedua yang saya nak kongsikan adalah, bahagian paling sedih adalah ketika Annisa yang dilakonkan oleh Izara Aishah bercerai dengan Syafiq yang dilakokan oleh Shah Iskandar. Waktu masuknya babak ini, kita dapat rasakan luluhnya hati seorang wanita apabila memilih untuk bercerai sebagai jalan penyelesaian. Babak ini bertambah sedih apabila Annisa gugur dan Syafiq tidak mengetahui hal ini. Malah ibu Annisa, Puan Hayati yang dilakonkan oleh Rosnah Johati pun tidak tahu mengenai keguguran ini.

Pendapat ketiga ialah sebenarnya saya menyangka jodoh Annisa ialah Nizam yang dilakokan oleh Dato' Aaron Aziz. Tetapi malangnya, tidak. Jodoh Annisa bukan dengan Nizam tetapi dengan orang lain (sila tonton untuk tahu siapa, hehehe). Kenapa saya sangkakan Nizam? Kerana ada satu babak tu, Annisa ada berkata sesuatu yang memberi tahu dia bersetuju untuk ibunya, Puan Hayati untuk berkahwin dengan Hatta yang dilakokan oleh Shah Rezza, merupakan seorang jenayah dalam drama ini. Jadi saya menyangka Annisa akan menerima Nizam yang juga terlibat dalam jenayah underbelly ini.

Menukar Cara Penulisan Blog

 

 
Baru-baru ini saya terbaca post daripada blog atiqahnajihah.com yang bercerita mengenai AdSense dan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN). Post yang sangat menarik dan banyak isi yang bagus untuk kita ambil dan jadikan inpirasi. Terima kasih buat Atiqah Najihah membuat posting yang sangat berguna untuk para blogger yang masih baru di dunia blogger ini.
 
Apabila baca posting daripada Atiqah ini, perkara pertama yang saya nak tukar dari segi penulisan blog ini ialah dengan menggantikan Nadia sebagai kata ganti nama diri kepada "saya". Sebenarnya, saya dah lama berfikir mahu menukarkan penggunaan Nadia kepada saya. Bila fikir balik, kadang-kadang rasa janggal juga menulis Nadia, Nadia dan Nadia setiap masa.
 
Kedua, saya tertarik dengan komen saudari Farhana Jafri (Salah satu blogger yang saya suka) di posting Atiqah ini iaitu mengenai penulisan menggunakan bahasa melayu yang betul. Jadi perubahan seterusnya ialah dengan menambah baik lagi penulisan dalam blog ini menggunakan bahasa melayu yang lebih teratur. Jadi apabila para pembaca menukar bahasa blog ini kepada bahasa lain akan lebih teratur. Oleh itu, pembaca tersebut akan mudah memahami posting dalam blog ini.
 
 
Ketiga, menukarkan tetapan blog ini kepada blog berbahasa melayu. Hal ini kerana, saya perlu memastikan pilihan untuk translate kan blog ini mempunyai pilihan kepada bahasa inggeris. Dengan menukarkan tetapan blog ini adalah blog bahasa melayu, para pembaca boleh menukarkan bahasa blog ini kepada bahasa inggeris.
 
Keempat ialah dengan memastikan setiap posting mestilah mempunyai lebih daripada 300 patah perkataan.  Ini adalah cabaran paling besar sebenarnya, maknanya selepas ini setiap kali menulis perlulah menulis dengan menambahkan ayat-ayat yang gratis dan juga mempraktikan segala ilmu yang dipelajari pada subjek bahasa melayu di sekolah dahulu. Sebelum publish post, saya perlu semak di microsoft word berapa perkataan yang saya telah buat.

Itu adalah empat perubahan yang saya bercadang untuk lakukan supaya blog ini akan mempunyai perubahan yang lebih baik pada masa akan datang.

Tamat sudah empat perubahan yang saya ingin lakukan. Namun begitu, apabila saya menambah gadget translate untuk blog ini, terdapat dua masalah yang berlaku. 

Pertama, pilihan bahasa inggeris tiada sekiranya tetapan untuk bahasa bagi blog ini adalah bahasa inggeris. Tetapi dah diselesaikan dengan perubahan yang ketiga (sila rujuk di atas).
 
 
Kedua, masalah yang berlaku adalah kedudukan google translate bar apabila pembaca memilih untuk menukar bahasa blog ini berada di atas blog ini. Posisi bar ini sedikit banyak mengganggu navbar di atas. Namun, disebabkan saya belajar dalam bidang software engineering, saya sedikit banyak memahami kaedah untuk menyelesaikan masalah ini. Saya berjaya untuk menukarkan posisi bar ini untuk sentiasa berada di bawah.

 
Ada yang berminat untuk saya ajar bagaimana untuk mengubah posisi bar ini? Kalau berminat cuba komen di bawah.